Kerjaya lakonan Haliza_Misbun

Pembabitan awal

Nama Haliza Misbun mula mendapat perhatian setelah muncul dalam pementasan teater arahan Rahim Razali yang berjudul Kelas 2020. Sebagai bakat baru, peluangnya untuk berganding bersama Rahim, Ahmad Tarmimi Siregar dan Erma Fatima tidak disiakan. Seterusnya beliau dilamar untuk menyertai siri TV Naik Tangga Turun Tangga bersama Rubiah Suparman, Hani Mohsin dan Azwan Ali pada tahun 1990 ketika baru berusia 18 tahun. Rahim seterusnya menyunting Haliza untuk membintangi filem arahannya yang berjudul Abang 92. Bakatnya mula disebut-sebut apabila memberi lakonan cemerlang sebagai gadis kampung yang dilacurkan dalam drama Korban pada tahun 1994. Menerusi watak tersebut, beliau dicalonkan untuk anugerah Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin.

Puncak populariti

Setelah drama Korban, nama Haliza Misbun mula diletakkan sebaris dengan pelakon TV wanita popular yang lain. Beliau muncul dalam puluhan drama TV yang mendapat rating yang tinggi. Dua buah drama lakonannya sebagai pelakon penyokong kepada dua primadona filem Melayu iaitu Tumirah (1997) bersama Fauziah Ahmad Daud dan Odisi (1998) bersama Erma Fatima menaikkan lagi nama beliau apabila memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Skrin edisi 1998 dan 1999 secara berturut-turut. Popularitinya mencapai kemuncak apabila muncul dalam drama bersiri Cinderella terbitan Kuasatek Pictures bersama Ahmad Idham pada tahun 1998. Drama tersebut mendapat rating yang cukup tinggi di TV3 dan menjadi antara drama TV paling malar segar dalam sejarah drama TV Melayu. Pada tahun 1998, Haliza berjaya meraih anugerah Pelakon TV Wanita Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Di layar perak pula nama Haliza tidak begitu disebut-sebut, setelah muncul dalam filem Scoop (1996), Haliza lebih berminat untuk fokus di kaca TV sahaja.

Era Eksklusif

Mencecah usia 30 tahun, Haliza lebih memfokuskan kepada bidang penerbitan menerusi produksinya Halle Pictures. Banyak produksi yang diterbitkannya seperti Roy Rohaya, Kembalikan Amanda dan filem Andartu Terlampau.[2][3][4] Dalam pada itu beliau juga melanjutkan pelajaran dalam bidang guaman di Universiti Islam Antarabangsa. Sejak itu kelibatnya di kaca TV menjadi agak eksklusif kerana tidak lagi kerap seperti di era 1990an. Biarpun begitu, sesekali muncul lakonan Haliza tetap mendapat pujian pengkritik. Buktinya, selain drama Korban, beliau mendapat tiga lagi pencalonan Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin menerusi drama Villa Murni (2001), Lebih Bisa Dari Jelatang (2006) dan Kembalikan Amanda (2008). Pada tahun 2005 beliau memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Skrin Angkasa menerusi drama arahan Erma yang berjudul Sumaiyah.[5]

Rujukan

WikiPedia: Haliza_Misbun http://www.astroawani.com/video-malaysia/haliza-mi... http://www.imdb.com/name/nm0592670/ http://www.themalaymailonline.com/projekmmo/berita... http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&d... http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&d... http://ww1.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&d... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/201... http://ww1.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20130929/h... http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt...